Social Icons

pemergianmu amat dirasai...

Satu berita kematian ahli keluarga Jumaat lepas memang amat mengejutkan. Abang Atan, suami kakak ku telah kembali ke rahmatullah pada umur 45 tahun akibat denggi dan pnemonia yang kronik pada 24 September, jam 6.10 pagi di Pusrawi.

Kesian dengan kakak.. Dia amat merasa kehilangan suaminya yang tersayang di kala umur perkahwinan baru mencecah 2 tahun 2 bulan... Semasa arwah ada,ku lihat mereka amat bahagia bersama. Sehingga hari ini, kakak tetap berulang-ulang kali menyatakan bahawa dia takkan berjumpa lagi dengan lelaki sebaik arwah. Terlalu sekejap Allah pinjamkan kebahagiaan yang dikecapi bersama arwah.. ungkapan kakak lagi..

Arwah meninggalkan 4 orang anak dari perkahwinannya yang terdahulu manakala kakak mempunyai 2 orang anak juga dari perkahwinan yang lalu. Sekarang keenam-enam anak mereka di bawah jagaan kakak... Bayangkan.. bagaimana keadaan kakak pada ketika ini tanpa suami di sisi.

Setelah berkahwin dengan arwah, kakak telah berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada anak-anak yang ramai. Bagainama selepas ini dia akan membesarkan anak-anak jika tidak bekerja? oh.. keluhan kakak.. Apakah yang kakak nak buat selepas ini?

Keluarga arwah amat berharap supaya kakak menjaga anak-anak arwah walaupun mereka hanya anak tiri.. kakak kata, dia sanggup selagi mampu. Semasa arwah masih hidup, arwah pernah menyatakan pada kakak.. "kalau sayang sanggup, jaga la anak-anak.. jika tidak, abang tak paksa.. jauh disudut hati, sebenarnya arwah amat berharap agar kakak dapat menjaga anak-anaknya..

Mana tanggungjawab bekas isteri arwah terhadap anak-anak nya? Ya, dia sekarang memang beria ingin menuntut hak penjagaan anak selepas arwah sudah tiada.. tapi kenapa baru sekarang? Kenapa dulu beliau tidak melakukan tanggungjawabnya sebagai ibu tatkala anak-anak memerlukan dia? Bagi mata2 yang memerhati, rasanya seperti ada udang disebalik batu....

Sebagai saudara yang terdekat, memang terasa kehilangannya.. arwah memang seorang abang ipar yang baik dan bertanggung jawab.. Beliau sangat ringan tulang dan pemurah walaupun hanya bekerja sebagai pemandu. Kehadiran arwah dalam keluarga kami menambahkan lagi keceriaan keluarga besar Tok Papa.. Kerosakan di rumah Tok Papa @ rumah ayahku telah banyak yang dibaikinya.. Ketiadaan arwah bila kami berkumpul nanti pasti terasa kosongnya..

Semoga arwah ditempatkan dikalangan hambaNya yang diredhai.. Sejadah, Tasbih, Yasin, Kain Pelikat dan Kain Batik pemberianmu pada malam raya tempoh hari akan kami gunakan sebaik-baiknya.. Arwah seolah-olah telah tahu dia akan pergi buat selamanya.. Doa dan ayat-ayat suci dari kami sentiasa bersama arwah.. InsyaAllah...

Buat kakak, kuatkan semangat.. kuatkan semangat.. kuatkan semangat.. tatkala ini anak-anak amat memerlukanmu.. Selagi termampu, kami akan cuba menyokongmu.. Banyak dah dugaan yang kakak telah lalui selama ini.. insyaAllah, Allah pasti bersama kita...

3 comments:

  1. Al-Fatihah. Takziah pada keluarga kakak Sri. Harap kakak Sri tabah dengan dugaan dari Allah buat masa kini. Semoga Allah akan tempatkan rohnya di tempat yang terpuji, AMIN.

    ReplyDelete